Pilihan Bahasa

Perkhidmatan Online

Tanyalah TTPM

SMS

Jurnal

Soalan Lazim

Bilakah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) ditubuhkan? 

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia ditubuhkan di bawah seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang mula berkuatkuasa pada 15 November 1999.

Apakah fungsi-fungsi/objektif-objektif TTPM?

TTPM adalah satu badan bebas ditubuhkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) (Kemudian dari ini dirujuk sebagai 'Akta') dengan fungsi utama untuk mendengar dan memutuskan tuntutan yang difailkan oleh pengguna di bawah Akta.

1. Objektif utama Tribunal adalah untuk menyediakan satu saluran alternatif kepada pengguna untuk menuntut gantirugi dan pampasan dengan cara mudah, murah dan cepat.

2. Dengan penubuhan Tribunal, pengguna boleh menuntut gantirugi dan pampasan terhadap peniaga dan pembekal yang tdak bertanggungjawab/tidak beretika.

 

Adakah terdapat apa-apa sekatan terhadap bidang kuasa Tribunal?

Tribunal mempunyai bidang kuasa berhubung tuntutan yang tidak melebihi RM25,000.00 yang difailkan dalam tempoh tiga tahun dari tarikh pertikaian melainkan tuntutan-tuntutan berikut :

1. yang berbangkit daripada kecederaan diri atau kematian;

2. bagi mendapatkan kembali tanah, atau apa-apa estet, atau kepentingan mengenai tanah;

3. yang mempersoalkan hakmilik-hakmilik tanah, atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah, atau apa-apa francais; dan

4. yang mengandungi pertikaian mengenai :- 

  • hak di bawah satu wasiat atau peruntukan, atau disebabkan kematian tak berwasiat;
  • nama baik (good wil);
  • apa-apa hak dalam tindakan;
  • rahsia perdagangan atau harta intelek lain.

5. apabila mana-mana Tribunal telah ditubuhkan melalui mana-mana undang-undang bertulis lain untuk mendengar dan memutuskan tuntutan-tuntutan tentang perkara yang menjadi hal perkara tuntutan itu.

 

Bagaimana seseorang pengguna boleh memfailkan tuntutan di Tribunal?

Tuntutan boleh difailkan dengan mengisi borang tuntutan yang dikenali sebagai Borang 1. Borang 1 boleh didapati secara percuma dari semua cawangan Tribunal dan juga boleh di muat turun dari portal eTribunal. Fi pemfailan Borang 1 adalah sebanyak RM5.00.

 

Apakah yang perlu dilakukan selepas Borang 1 difailkan?

Pengguna hendaklah menyerahkah Borang 1 kepada peniaga dan kedua belah pihak dikehendaki menghadiri  pendengaran tuntutan pada tarikh yang ditetapkan oleh Tirbunal.

 

Apakah peniaga patut buat selepas menerima Borang 1?

Peniaga boleh menghubungi pengguna untuk berbincang mengenai tuntutan bagi tujuan menjelaskan pertikaian ataupun menyelesaikannya. Sekiranya tiada penyelesaian dicapai, peniaga hendaklah memfailkan Borang 2 di cawangan-cawangan Tribunal. Borang 2 hendaklah menyatakan pembelaan atau penjelasan kepada tuntutan. Satu salinan Borang 2 hendaklah diserahkan kepada Pihak Yang Menuntut. 

 

Bolehkah pihak-pihak menyelesaikan tuntutan antara mereka tanpa menghadiri pendengaran?

 

Kedua belah pihak boleh menyelesaikan tuntutan antara mereka atau paling tidak berbincang tentang penyelesaian kepada tuntutan. Sekiranya pihak-pihak berjaya menyelesaikan tuntutan, Notis Henti boleh difaikan di pejabat Tribunal dan pihak-pihak tidak perlu menghadiri pendengaran tuntutan.

 

Bagaimanakah sepatutnya pihak-pihak membuat persediaan untuk pendengaran di hadapan Tribunal?

Pihak-pihak hendaklah mengumpul segala dokumen berkaitan berhubung tuntuntan dan menyediakan mana-mana saksi untuk menghadiri pendengaran. Mana-mana pihak juga boleh membawa bersama ahli keluarga, kawan dan sebagainya untuk membantu beliau semasa pendengaran. Namun demikian, semasa pendengaran mana-mana pihak tidak boleh diwakili oleh peguam.

 

Apakah yang berlaku sepanjang pendengaran Tribunal?

Presiden yang bersidang sendirian akan membantu pihak-pihak membentangkan kes masing-masing dan juga, sepanjang masa, membantu pihak-pihak mencapai penyelesaian yang dipersetujui. Jika perlu, Presiden akan menunjuk ajar pihak-pihak tentang undang-undang yang terpakai di dalam sesuatu tuntutan. Pihak-pihak juga digalakkan membentangkan fakta kes masing-masing secara lengkap.

 

Apakah yang berlaku selepas pendengaran Tribunal?

Sekiranya tuntutan diselesaikan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak, Tribunal akan mengeluarkan award dengan persetujuan (Nota: segala perintah Tribunal dikenali sebagai Award). Jika tuntutan tidak berjaya diselesaikan, Tribunal akan mengeluarkan award berdasarkan penelitian fakta dan undang-undang terbabit. Presiden akan memberikan alasan-alasan untuk award tersebut.

 

Bagaimanakah pihak-pihak mematuhi award Tribunal?

Terma-terma award Tribunal dan cara pematuhan award dinyatakan secara jelas di dalam setiap award. Jika ada mana-mana pihak tidak memahami mana-mana terma award tersebut, ianya boleh dirujuk kembali kepada Tribunal untuk klarifikasi.

 

Apakah yang akan berlaku sekiranya mana-mana pihak gagal mematuhi award Tribunal?

Kegagalan mematuhi award Tribunal adalah suatu kesalahan jenayah di bawah Akta Perlindungan Pengguna, 1999. Sebarang aduan berhubung ketidakpatuhan award hendaklah dibuat kepada bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.