Pilihan Bahasa

Perkhidmatan Online

Tanyalah TTPM

SMS

Jurnal

Tatacara Pemfailan dan Pendaftaran

Secara ringkasnya, tatacara pemfailan dan pendaftaran sesuatu tuntutan adalah seperti berikut :-

a) Setiap tuntutan hendaklah dibuat dalam Borang 1, yang boleh didapati secara percuma daripada mana-mana pejabat Tribunal Tuntutan Pengguna;

b) Borang 1 hendaklah diisi oleh Pihak Yang Menuntut dalam 4 salinan dan hendaklah difailkan di pejabat Tribunal Tuntutan Pengguna Negeri berkenaan;

c) Bayaran pemfailan Borang 1 adalah sebanyak RM5.00 dan resit rasmi akan dikeluarkan kepada Pihak Yang Menuntut;

d) Borang 1 akan didaftarkan, ditarikhkan dan ditandatangani oleh Setiausaha atau Penolong Setiausaha Tribunal dan dimeterai dengan meterai Tribunal. Dua salinan Borang 1 yang telah dimeterai akan dikembalikan kepada Pihak Yang Menuntut untuk diserahkan satu salinan kepada pihak yang dituntut (Penentang);

e) Penyerahan Borang 1 kepada seorang Penentang boleh dibuat dengan cara-cara berikut :-
Jika Penentang adalah seorang individu :

     i) meninggalkan dokumen itu dengan orang itu; atau

     ii) memberikan dokumen itu kepada orang itu; atau

    iii) mengeposkan dokumen itu dalam suatu surat berdaftar berbayar dahulu yang dialamatkan kepada orang itu di alamat penyerahannya atau di alamatnya yang terakhir yang diketahui.


Jika Penentang adalah sebuah Syarikat atau Firma:

i) meninggalkan dokumen itu dengan pengarah, pengurus, setiausaha atau pegawai lain seumpamanya dalam syarikat itu atau tuanpunya firma itu;

ii) memberikan dokumen itu kepada mana-mana orang yang disebutkan di atas; atau

iii) mengeposkan dokumen itu dalam suatu surat berdaftar berbayar dahulu yang dialamatkan kepada mana-mana orang yang disebutkan di atas di pejabat berdaftar syarikat atau firma itu atau dialamat penyerahannya.

f) Penentang yang menerima Borang 1 dari Pihak Yang Menuntut hendaklah membuat pernyataan atau pembelaan dan tuntutan balas (jika ada) dalam Borang 2 yang juga boleh didapatkan secara percuma daripada pejabat Tribunal Tuntutan Pengguna;

g) Borang 2 hendaklah difailkan dalam 4 salinan di pejabat Tribunal yang sama di mana Borang 1 difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh Penentang menerima Borang 1;

h) Bayaran bagi pemfailan Borang 2 adalah sebanyak RM5.00 dan resit rasmi akan dikeluarkan kepada Penentang;

i) Borang 2 akan didaftarkan, ditarikhkan, ditandatangani dan dimeterai oleh Setiausaha atau Penolong Setiausaha Tribunal. Dua salinan Borang 2 yang telah dimeterai akan dikembalikan kepada Penentang untuk diserahkan satu salinan kepada Pihak Yang Menuntut;

j) Pihak Yang Menuntut yang telah menerima Borang 2 daripada Penentang hendaklah membuat pembelaannya kepada tuntutan balas Penentang (sekiranya ada) dalam Borang 3 yang boleh didapati secara percuma daripada pejabat Tribunal;

k) Borang 3 hendaklah difailkan dalam 4 salinan di pejabat Tribunal yang berkenaan dalam masa 14 hari dari tarikh Pihak Yang Menuntut menerima Borang 2. Tiada apa-apa bayaran dikenakan bagi pemfailan Borang 3.

l) Borang 3 akan didaftarkan, ditarikhkan dan ditandatangani oleh Setiausaha atau Penolong Setiausaha Tribunal dan akan dimeterai dengan meterai Tribunal. Dua salinan Borang 3 yang telah dimeterai akan dikembalikan kepada Pihak Yang Menuntut untuk diserahkan satu salinan kepada Penentang.